You are hereAmerika terus hulur bantuan untuk kawal Selat Melaka
Amerika terus hulur bantuan untuk kawal Selat Melaka
PUTRAJAYA- Kerajaan Amerika Syarikat mahu meneruskan bantuan kepada negara pesisir bagi memastikan keselamatan Selat Melaka terjamin.
Ini berikutan maklumat dari rangkaian perisikan mengenai kemungkinan berlaku ancaman pengganas di perairan itu, baru-baru ini.
Penolong Setiausaha Negara Amerika bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Kurt Campbell berkata negara itu telah memainkan peranan aktif dan menawarkan sokongan kepada Malaysia, Singapura dan Indonesia berhubung isu itu.
"Kami mahu terus menawarkan bantuan sebanyak yang boleh jadi proses ini akan berterusan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Dialog Kedua bersama Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Luar Negeri, di sini hari ini.
Campbell berkata isu itu turut dibincangkan dengan Singapura ketika beliau melawat negara itu baru-baru ini.
Sementara itu, Campbell berkata hubungan Amerika-Malaysia kini semakin baik di mana tindakan bersama telah diambil beberapa bulan yang lepas berhubung beberapa isu termasuk perdagangan dan mencegah keganasan.
Katanya perbincangan bersama pegawai Malaysia juga telah bersetuju untuk mengadakan lawatan khusus dan pembabitan dalam hal tertentu pada masa depan.
"Saya fikir kedua-dua pihak kini mengakui bahawa kedua-dua negara boleh mengambil tindakan yang teguh pada masa depan untuk memperbaiki hubungan dan saya amat berharap dapat menolong dan membantu menjayakan proses ini," katanya.
Campbell berkata Malaysia juga menunjukkan minat untuk menyertai Kerjasama Rentas Pasifik (TPP), juga terdapat sokongan kuat dari negara-negara di Asia Tenggara agar Amerika terus memainkan peranan penting dan memberi keyakinan aktiviti ekonomi di rantau ini keseluruhannya.
"Mereka amat berharap agar kami turut terbabit dalam TPP dan saya rasa kami amat berharap dapat memenuhi harapan itu," kata Campbell.
BERNAMA
Date:
Wed, 10/03/2010
Tags
